Friday, July 19, 2013

[MASJIDI BAITI] AMALKAN 6 AMALAN KESUKAAN RASULULLAH SAW DALAM BULAN RAMADHAN




AMALAN yang menghidupkan Ramadhan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadhan adalah dituntut. 



Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadhan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)



Antara amalan-amalan kesukaan Nabi Muhammad S.A.W di Bulan Ramadhan adalah seperti berikut :-



1. Membaca al-Quran

Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “… bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadhan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadhan.



Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadhan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadhan, “Sesungguhnya Ramadhan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”



2. Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)


3. Qiamullail

Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadhan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadhan.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)


4. Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.


5. Mengerjakan umrah

Perkara disunatkan pada Ramadhan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadhan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)


6. Zakat fitrah

Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadhan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Sumber : KMasjid

Read more: blog rossacalla

No comments:

Post a Comment