Wednesday, July 24, 2013

[MASJIDI BAITI] SOAL JAWAB KEBIASAAN BERKAITAN PUASA

soal jawab puasa
Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247) 

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah. 
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut. 
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesakbuat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. 
Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "
والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.

suntikan di anggota badan
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat 
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
 فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
15) Mengosok gigi ketika berpuasa
Persoalan ini boleh dirujuk di SINI

INFO: BLOG ROSSACALLA

Monday, July 22, 2013

[MASJIDI BAITI] SEJARAH BULAN ISLAM MENDAPAT NAMA

.
Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :
.

    Muharam ( محرّم)

Bulan ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Rasulullahصلى الله عليه وسلم  meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
.

    Safar (صفر)

Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam. Safar diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Rumah menjadi kosong kerana penduduk Arab Badwi ketika itu keluar dari kampung meninggalkan rumah mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Perkataan Safar juga bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.
.

    Rabiulawal (ربيع الأول)

Rabiulawal merupakan bulan Islam yang ke-3. Rabiulawal bermakna bulan pertama musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga.
.

    Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)

Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-4. Rabiulakhir bermakna bulan kedua musim bunga iaitu waktu ini pokok dan tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga.
.

    Jamadilawal (جمادي الأول)

Jamadilawal (Jamada al-Awwal) merupakan bulan ke-5. Bulan pertama musim panas. Perkataan “Jamada” bermaksud kering, di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.
.

    Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)

Jamadilakhir (Jamada al-Akhir) merupakan bulan ke-6. Bulan kedua musim panas. Jamadilakhir merupakan musim kemarau yang akan berakhir keadaan bulan ini juga lebih sejuk daripada sebelumnya yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
.

    Rejab (رجب)

Rejab adalah bulan ke-7. Rejab bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini salah satu bulan yang dihormati dan pintu Ka’bah dibuka. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya.
Rejab juga merupakan satu lagi bulan suci yang diharamkan perlawanan atau peperangan dilarang berperang.
Ia dikenali juga sebagai ‘Rajab Al-A’sham’ (Rajab yang sunyi) dan ‘Rajab al Fard’. Fard bermaksud keseorangan atau bersendirian kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab terasing di tengah-tengah.
.

    Syaaban (شعبان)

Bulan Syaaban terbit dari perkataan “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’ atau ‘golongan’ dan “syu’ba” yang bermaksud berpecah, menyimpang dan berselerak. Masyarakat Arab terdahulu keluar bertebaran dan berpecah secara berkelompok setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering.
Pada bulan Syaaban ini juga, mereka keluar beramai-ramai berselerak dan berpecah mencari air dan bekalan makanan.
.

    Ramadhan (رمضان)

Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan “ramda”, yang bermaksud batu panas. Ia juga bererti terik atau terbakar, Ini menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan amat panas di Semenanjung Arab ketika itu.
Dan setelah kemunculan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.
.

    Syawal (شوال)

Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ dan dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Syawal dinamakan sedemikian kerana bulan ini adalah musim di mana unta betina mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan dan musim ini juga di mana unta kekurangan susu kerana kebanyakan unta-unta betina bunting.
Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan kemenangan melawan hawa nafsu.
.

    Zulkaedah (ذو القعدة)

Zulkaedah merupakan bulan ke-11. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.
Inilah bulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
.

    Zulhijjah (ذو الحجة)

Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam setahun Hijrah. Ini adalah bulan suci terakhir dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Bulan ini disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) yang bererti “yang empunya haji”. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji iniiaitu waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Makkah (Kaabah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10 Zulhijjah.

Wallahualam

Sunday, July 21, 2013

[MASJIDI BAITI] EBOOK : PANDUAN LENGKAP SOLAT SUNAT TERAWIH


Panduan Lengkap - Selamat Menyambut Puasa

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) pada malam bulanRamadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segaladosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Muslim)

Di sini merupakan sedikit perkongsian asas mengenai solat tarawih dari segi latar belakang dan panduan cara-cara menunaikan solat sunat tarawih

Harap dapat memberi manfaat kepada semua.



........................................................................................

Sumber: Blog rossacalla

Friday, July 19, 2013

[MASJIDI BAITI] AMALKAN 6 AMALAN KESUKAAN RASULULLAH SAW DALAM BULAN RAMADHAN




AMALAN yang menghidupkan Ramadhan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadhan adalah dituntut. 



Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadhan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)



Antara amalan-amalan kesukaan Nabi Muhammad S.A.W di Bulan Ramadhan adalah seperti berikut :-



1. Membaca al-Quran

Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “… bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadhan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadhan.



Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadhan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadhan, “Sesungguhnya Ramadhan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”



2. Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)


3. Qiamullail

Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadhan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadhan.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)


4. Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.


5. Mengerjakan umrah

Perkara disunatkan pada Ramadhan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadhan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)


6. Zakat fitrah

Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadhan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Sumber : KMasjid

Read more: blog rossacalla

Wednesday, July 17, 2013

[MASJIDI BAITI] JADUAL BERBUKA & IMSAK TAHUN 2013 MALAYSIA

Jadual Waktu Berbuka Puasa Dan Imsak Tahun 2013M/1434H Untuk Seluruh Negeri

Berikut adalah senarai Jadual Waktu Berbuka Puasa Dan Imsak Untuk Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Pada Tahun 1434H / 2013M.


BAGI WILAYAH PERSEKUTUAN....
sumber : JAKIM..
.....................................................................................


kredit: blog rossacalla

[MASJIDI BAITI] NOUMAN ALI KHAN IN MALAYSIA


[MASJIDI BAITI] JADUAL KULIAH USTAZ AZHAR IDRUS BULAN RAMADHAN 1434H (JULAI/OGOS 2013)